~ ~~Assalammualikum wrt, Terima Kasih Kerana Sudi Mampir~~~ ~

Selasa, 14 April 2009

Berpolitik tidak kena mengena dengan akhirat?

Soal jawab kolum Dr Haron Din

SOALAN: Ada pandangan mengatakan masalah berpolitik dalam mana-mana pertubuhan politik adalah masalah duniawi dan tidak ada kena mengena dengan akhirat. Perkara dunia habis di dunia, itulah realitinya. Oleh kerana itu tidak timbul soal parti politik mana harus diikut, mana yang harus ditolak, semuanya sama, apa pandangan Dato? - MOHD MUNIR, menerusi e-mel


JAWAPAN: Tidak. Sama sekali tidak begitu. Islam adalah panduan hidup. Islam adalah cara hidup. Islam yang sebenar adalah yang tidak memisahkan di antara urusan dunia dan urusan akhirat. Kedua-duanya berjalan serentak. Ianya bergandingan antara satu sama lain. Dunia adalah jambatan ke akhirat, apa yang anda lakukan di dunia ini, akan diambil kira di akhirat. Itulah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): "Maka sesiapa berbuat kebajikan meskipun seberat zarrah, nescaya akan diberi balasan di akhirat. Dan sesiapa yang berbuat kejahatan, meskipun seberat timbangan zarrah, akan diberi balasan di akhirat." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kerja-kerja manusia di dunia ini hanya ada dua jenis sahaja. Sama ada kerja baik atau kerja jahat. Kerja politik pun demikian juga. Ada politik baik dan ada politik jahat. Kerja politik adalah kerja besar dan berat. Guna dan kesannya juga amat besar.
Ada orang yang seluruh hidupnya dihabiskan dalam berpolitik, siang dan malam berpolitik. Maka rugilah dia jika Allah tidak mengambil kira perjuangan dan pengorbanannya itu, jika ia melakukan politik yang baik. Dan, tidak adillah kepada Allah SWT jika dibiarkan orang yang melakukan politik jahat itu terus bermaharaja lela dan tidak dibalas di akhirat. Kuasa politik adalah kuasa yang menentukan hala tuju negara. Rakyat akan terbawa ke dalam penghidupan yang diwarnakan orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat. Jika politik yang mementingkan parti dan kroni, maka untunglah yang mendapat habuan, manakala yang lain-lain akan menderita.

Jika politik yang jujur serta ikhlas, berjuang untuk mengajak manusia memartabat dan melaksanakan hukum Allah, melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka akan untunglah insan yang akan mendapat ganjaran di akhirat. Sekiranya politik itu zalim, yang berkuasa menindas rakyat dan mementing diri sendiri serta sanggup melakukan kezaliman, penindasan dan sebagainya, maka tentulah ada pembalasan di akhirat, atas perbuatan yang melanggar tatasusila dan undang-undang kemanusiaan yang wajib dipelihara. Meskipun sudah ada penjelasan dalam media massa tentang Islam itu sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan tidak berpisah antara urusan dunia dan akhirat, tiada pemisahan itu dalam Islam, namun kekeliruan masih ketara.

Saya cadangkan bagi mereka yang meragui tentang hakikat ini, merenung kembali kepada ikrar dalam solat kita hari-hari yang dibaca dalam doa iftitah (mafhumnya): "Sesungguhnya solatku, ibadatku, cara hidupku dan matiku, semuanya dilakukan untuk Allah, Tuhan sekelian alam."
Setiap kali solat kita membuat pengakuan mutlak bahawa seluruh hidup kita semuanya kerana Allah, tidak ada yang lain hanya semata-mata kerana Allah. Berpolitiklah untuk Allah, bukan kerana dunia. Meskipun urusan di dunia, tetapi hendaklah kerana Allah. Berpolitik melalui jalan yang diredai Allah.

Jika anda terbabit dengan politik yang menentang hukum Allah atau politik yang hendak dicapai itu bukan untuk memartabatkan agama Allah, maka ianya berlawanan dengan sifat manusia yang dijadikan sebagai khalifah Allah. Oleh yang demikian, anda akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang anda lakukan. Penderhakaan terhadap Allah adalah suatu jenayah agama yang amat besar. Allah mengingatkan kita dengan perintah-Nya seperti firman-Nya (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kesesatan yang amat nyata." (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Jika sudah sesat maka Allah menyatakan lagi (mafhumnya): "...Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya disediakan di akhirat kelak neraka jahanam yang kekal mereka di dalamnya buat selama-lamanya." (Surah al-Jin, ayat 23)

Oleh kerana itu, berpolitiklah dengan politik yang betul, bukan main tangkap muat atau terikut-ikut atau terpengaruh dengan pujukan ahli-ahli politik yang tidak berpendirian. Anda ada panduan yang boleh menentukan sendiri politik yang sebenar, mana yang memberi keuntungan dunia dan di akhirat, atau pun sekurang-kurangnya anda akan memperolehi keuntungan di akhirat jika anda berpolitik untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang suci murni. Wallahu a'lam. - lanh _

Suami yang layak ditaati isteri


Ada orang bertanya, mengapa Rasulullah tidak menyatakan secara jelas ciri-ciri lelaki yang seharusnya dipilih oleh bakal isteri. Hadis secara jelas hanya menyebut ciri-ciri wanita yang lazimnya dicari oleh lelaki iaitu yang beragama selain tiga lagi jika perlu. Kalau lelaki diberi panduan untuk memilih wanita yang baik, mengapa tidak ada panduan untuk wanita bagi mencari suami. Kata mereka, kalau ada panduan sudah pasti isteri tidak tersalah memilih suami pada masa hadapan.

Memang secara jelasnya Rasulullah tidak sebut kerana lazimnya lelaki sahaja yang mencari wanita. Tetapi sebenar kalau wanita benar-benar hendak mencari bakal suami, mereka boleh ikut sepertimana Khadijah memilih suaminya, Rasulullah. Pada peringkat awalnya Khadijah menghantar perisik untuk melihat peribadinya secara lebih dekat. Perisik yang adil sudah pasti akan membuat laporan yang betul mengenai apa yang dirisikkan itu. Hasilnya dia berjaya berkahwin Muhammad dan ternyata pilihan itu terbaik.

Antara ciri-ciri yang dapat dikesan pada diri Muhammad pada waktu itu ialah:

1. Jujur lalu tidak mengambil kesempatan
2. Amanah dengan tugas
3. Pemalu dengan wanita
4. Beragama lalu takut kepada Allah
5. Boleh menjadi pemimpin.

Percayalah jika suami mempunyai ciri-ciri ini, pasti disenangi oleh isteri, malah saling hormat menghormati sampai bila-bila masa sekalipun pada usia tua. Suami dalam keadaan itu tidak akan melakukan dosa baik sesama manusia apatah lagi dengan Allah SWT. Walau bagaimanapun, suami yang mempunyai ciri di atas perlu juga mencari wanita yang beragama bagi membentuk rumah tangga yang damai bahagia. Gabungan inilah yang dikatakan serasi ataupun kufu.

Persoalan sekarang, wujudkah lelaki yang memiliki ciri-ciri di atas pada zaman ini? Bolehkah ditemui lelaki sebegini di tepi jalan, di kebun bunga, di pasar dan seumpamanya? Hanya wanita yang agamanya kurang akan bertemu jodoh di tempat-tempat berkenaan dan yang pastinya lelaki itu juga tidak menepati ciri-ciri di atas.Inilah realiti yang berlaku pada hari ini, pasangan yang berkahwin dalam keadaan itu, bahagianya pada awalnya sahaja tetapi bermasalah pada pertengahan jalan. Malah beberapa kes yang ditemui, pasangan itu tidak pandai atau tidak mahu melakukan solat.

Jelas di sini, selain lelaki yang perlu mencari isteri yang beragama dan beriman selain kecantikan, berharta dan berketurunan baik, wanita juga perlu pandai memilih bakal suami berdasarkan ciri-ciri di atas. Untuk itu, pihak wanita juga perlu ada kumpulan perisik seperti yang dilakukan oleh Khadijah.
Apabila suami isteri sudah mengikut ciri-ciri di atas mereka perlu mengekalkan kedudukan itu sehingga ke akhir hayat. Selain itu suami isteri boleh mengekalkan kebahagiaan yang dicapai dengan berpandukan hadis berikut:

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila dia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya” (Hadis Riwayat Muslim).

Isteri yang baik menurut hadis di atas ialah dia mesti bersedia mempamerkan persembahan yang terbaik untuk suaminya sewaktu di dalam rumah. Maksudnya, apabila suami pulang rumah disambut oleh isteri dengan senyum mesra. Dia menyediakan air minuman kerana kemungkinan suami dahaga. Suami dalam keadaan itu akan senang hati walaupun mungkin terdapat masalah yang dihadapi sebelumnya. Masalah berat yang ditanggungnya dapat hilang apabila dilayan sedemikian rupa.Selain itu isteri terus memberi ketaatan kepada suami dalam semua keadaan terutama apabila diminta oleh suami. Isteri itu juga tidak akan membantah kehendak suami selagi perkara yang disuruh itu tidak melanggar syariat.

Sungguhpun begitu, perkara yang penting dalam hal ini ialah isteri tidak membuatkan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Jadi, semua yang hendak dilakukan isteri, dia akan meminta restu dan pandangan suaminya terlebih dahulu.Tiga perkara asas ini perlu dijaga oleh isteri dalam berhadapan dengan suami sama ada suami yang memenuhi ciri-ciri di atas atau tidak. Mungkin tidak timbul masalah bila berhadapan dengan suami yang baik, tetapi menjadi cabaran besar bila berhadapan dengan suami sebaliknya. Namun jika isteri dapat mendisiplinkan suaminya, itulah kejayaan yang besar buatnya.Sebagai contoh, suami melarang isterinya solat atau menutup aurat, dia boleh membantah dengan cara baik. Dia tetap solat dan tetap menutup aurat dengan alasan perintah Allah. Lambat laun suami itu akan faham dan dia juga akan turut melakukan solat secara istiqamah selepas itu.

Jadi, bagi mereka yang baru berkahwin dicadangkan supaya mereka saling menyenaraikan apa yang disukai oleh suami dan isteri, juga apa yang tidak disukai kedua-duanya. Dengan cari ini mereka akan berhati-hati supaya tidak melakukan perkara yang tidak disukai pasangannya

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Khamis, 2 April 2009

AIR UNTUK RAKYAT

KENYATAAN AKHBAR
31 Mac 2009
SELANGOR SEDIA LAWAN KENAIKAN TARIF

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor kesal terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk terus beroperasi sebagai konsesi dan yang secara langsung menyetujui permintaan Syabas hendak menaikkan tarif air.
Keputusan tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap pentadbiran negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebaliknya terhadap pembayar cukai seluruhnya.
Malahan, Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak diberikan lesen kerana ia gagal memperlihatkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.
Sehingga kini, perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada Perjanjian Konsesi (Concession Agreement - CA) dilihat sangat tidak memuaskan dan gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA.
Tambahan pula Syabas didapati melanggar syarat-syarat dalam CA. Perkara ini sudahpun dibawa ke pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, di samping permohonan kita untuk membatalkan Perjanjian Konsesi (CA) dengan Syabas.
Walau bagaimanapun, Menteri berkenaan MASIH eggan mengambil tindakan terhadap Syabas, sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa Kerajaan Selangor.
Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula perkhidmatan air di Malaysia tetapi juga menjejaskan kepentingan pengguna seluruhnya.
Sebenarnya keputusan untuk menaikkan tarif air tidak dapat dipertahankan. Kerajaan Negeri Selangor percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi oleh Syabas. Paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan, dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa tidak layaknya Syabas memikul tanggungjawab meneruskan operasi air.
Justeru itu, berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka Kerajaan Negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian.
Kerajaan Pakatan Rakyat berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Negeri dalam penstrukturan semula perkhidmatan air diSelangor. Untuk memahami isu-isu terbabit dalam pengurusan air di Selangor, orang ramai bolehlah melayari laman web rasmi berhubung isu ini di www.airuntukrakyat.com.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP