~ ~~Assalammualikum wrt, Terima Kasih Kerana Sudi Mampir~~~ ~

Isnin, 15 Jun 2009

Tip: 50 Rangsangan Anak Bijak

raffizmy@yahoo.com

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU- SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Jumaat, 12 Jun 2009

SIS Forum Sdn Bhd @ "Sister In Islam"

Saya merujuk kepada usul Dewan Muslimat PAS Kawasan Shah Alam (yang diketuai oleh Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Samad) yang diluluskan didalam Muktamar Agong PAS ke 55 baru-baru ini yang mendesak supaya kumpulan yang dikenali dengan jenama Sisters in Islam dibatalkan dan ahli-ahlinya dihantar untuk pemulihan di mana-mana pusat pemulihan untuk dipulihkan..

Saya percaya usul ini dibuat berdasarkan keprihatinan serta kebimbangan PAS atas tindak-tanduk dan kenyataan-kenyataan kumpulan ini yang dianggap bercanggah dengan aqidah, syariat dan perundangan Islam.

Walaupun saya menghormati hak bersuara dan mengeluarkan pendapat, namun tindak-tanduk dan kenyataan kumpulan ini memang sangat mengelirukan dan boleh menjejaskan aqidah dan bercanggah dengan syariat dan perundangan Islam. Tindakan mereka menyokong dan bersekongkol dengan NGO bukan Islam menyokong permohonan murtad oleh Azilna Jailani @ Lina Joy, tindakan dan kenyataan mereka menyokong tindakan wanita Amerika Aminah Wadud mengimamkan solat Jumaat, kenyataan mereka mempertikaikan hukum faraid berkaitan wanita Islam memperolehi satu bahagian sedang lelaki mendapat dua bahagian, kenyataan mereka mempertikaikan hukum menutup aurat bagi wanita, kenyataan mereka mempertikaikan hukum mengharuskan lelaki Islam berkahwin tidak melebihi empat dan banyak lagi tindak-tanduk dan kenyataan-kenyataan yang boleh dianggap bercanggah dengan aqidah, syariat dan perundangan Islam.

Walaubagaimana pun saya percaya membatalkan atau mengharamkan kumpulan tersebut adalah bukan langkah yang berkesan.

Ini kerana tindakan mengharamkan kumpulan tersebut akan hanya melahirkan simpati berlebihan kepada kumpulan ini. Ianya juga akan dijadikan modal oleh golongan berfikiran sempit untuk memperlekehkan Islam.

Saya berpendapat tindakan yang lebih wajar adalah saperti berikut:

1. Melarang dan membatalkan penggunaan nama ISLAM pada kumpulan ini. Ini adalah kerana nama ISLAM yang digunapakai oleh mereka memberi gambaran dan persepsi seolah-olah mereka bercakap bagi pihak Islam atau mewakili suara Islam.
Sesiapa pun boleh bercakap mengenai Islam (tertakluk kepada batas-batasnya), tetapi tiada siapa berhak bercakap bagi pihak Islam (melainkan mereka yang berautoriti saperti para ulama', mufti dan lain-lain).
Tambahan pula kumpulan ini bukanlah sebuah badan NGO yang berdaftar dibawah Akta Pertubuhan. Sebaliknya ia adalah sebuah syarikat yang berdaftar dibawah Akta Syarikat dengan nama SiS Forum Sdn. Bhd. Kalau dilihat sebenarnya namanya langsung tiada kaitan dengan Islam tetapi mereka memukul canang keliling dunia mendabik dada mereka adalah Sisters in Islam.
Pada saya tindak-tanduk kumpulan ini adalah mengelirukan orang ramai termasuk bukan Islam kerana mereka menyalahgunakan label Islam walhal nama pendaftaran mereka pun tidak begitu. Malahan saya mencadangkan supaya kumpulan ini menukar nama mereka kepada Ikatan Wanita Kosmpolitan (atau singkatannya IWK) agar sesuai dengan imej mereka yang kebanyakkannya tidak bertudung dan ada yang belum berkahwin pun. Bagaimana mereka nak bercakap tentang hak wanita dan soal perkahwinan Islam sedang mereka sendiri tidak mematuhi dan melaksanakan syariat Islam yang terlalu asas!

Oleh itu saya mendesak agar Suruhanjaya Syarikat Malaysia melarang atau membatalkan penggunaan label Islam oleh kumpulan ini.

2. Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara perlu mengkaji tindak-tanduk dan kenyataan kumpulan ini serta apa-apa lapuran polis yang telah dibuat terhadap mereka. Sekiranya ujud sebarang kes prima facie, tindakan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana individu daripada kumpulan ini perlu diambil termasuk menurut Seksyen 299A Kanun Kesiksaan.

3. Pihak berkuasa Islam saperti bahagian penguatkuasa Jabatan Agama Islam perlu mengkaji untuk mengambil tindakan pertuduhan jenayah keatas kumpulan ini dan mana-mana individu dikalangan mereka yang didapati melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa kenyataan yang menjadi kesalahan mengikut mana-mana peruntukan dibawah Enakmen Jenayah Syariah.

4. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengadakan muzakarah membincangkan tindak-tanduk dan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh kumpulan ini atau mana-mana individu dikalangan mereka. Sekiranya ternyata perbuatan atau kenyataan mereka didapati sesat atau bercanggah dengan aqidah, syariat atau perundangan Islam, maka mereka hendaklah dipanggil memberi penjelasan. Sekiranya mereka gagal dan atau ingkar setelah diberi peluang, maka Majlis Fatwa hendaklah mengkaji untuk mengisytiharkan kesesatan mereka sebagaimana yang telah dilakukan terhadap kumpulan Al Arqam, Kumpulan Ayah Pin dan lain-lain.

5. Saya juga mendesak supaya kumpulan ini menghentikan kegiatan mereka memperkudakan anak-anak perempuan pimpinan UMNO dalam usaha mereka mengetengahkan kehebatan kumpulan mereka. Saya khuatir penggunaan anak-anak perempuan pimpinan UMNO ini akan melemahkan semangat pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan ini. Saya juga menasihatkan anak-anak pimpinan UMNO ini supaya memahami kedudukan dan nama ayah mereka akan terbabit dan terpalit dengan kegiatan kumpulan ini.

5. Bagi PAS pula, saya percaya langkah terbaik yang boleh dibuat oleh PAS ialah dengan mengadakan pertemuan bersemuka dengan kumpulan ini. Dengan begitu ramai para ulama', 'ilmuan, da'i, ustadz dan lain-lain didalam PAS, saya percaya tidak mejadi masalah untuk PAS mengadakan dialog atau muzakarah dengan kumpulan ini. Ini adalah suatu jihad yang besar, malahan ianya akan menjadi suatu modal politik yang besar kepada PAS jika berjaya menjinakkan kumpulan ini dan membawa mereka kembali kepangkal jalan.

Sekian.

Wassalam dan jazakallah.

Rabu, 3 Jun 2009

Berpelajaran Tidak Berpendidikan

“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.

Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.

Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.

Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.

Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.

Apa maknanya itu? Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!



S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan?

Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?

Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.

“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.

Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.

Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?

Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?

HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN

Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”



“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia. Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.

Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?

Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.

Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.

Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.

MEMPOLITIKKAN SEGALANYA

Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.

Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.


Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya

Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!

Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!

Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.

Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.

Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.

Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.

DIALOG POLISI

Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.

Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.

Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.

Ia suatu pengalaman berharga.

Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.

Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.

Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.

Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.

SERANGAN SOCRATES

Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.


Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.

“Apakah tujuan hidup ini?”

“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”

“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”

Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.

Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.

Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.

Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.

Tidakkah itu sejarah yang berulang?

Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.

Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.

SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK

Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008

http://saifulislam.com/?p=1232#more-1232

Makanan halal pilihan mukmin

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sangat sensitif dengan makanan haram walaupun perkara haram yang lain masih gemar dilakukannya. Mungkin anda pernah makan di restoran atau gerai di medan selera, yang masing-masing duduk di meja pilihan sendiri. Cuba anda pastikan, berapa orang dalam kalangan pelanggan di situ yang bangun dan keluar tanpa membayar.

Lazimnya pelanggan tersebut akan bangun dan pergi ke kaunter pembayaran atau memanggil pelayan untuk mengira kadar yang perlu dibayar. Malah saya pasti, tidak seorang pun yang akan cuba menipu juru jual itu dengan memberi fakta yang kurang tepat. Padahal dalam keadaan pelanggan yang ramai itu, juru jual itu mungkin tidak dapat memastikan kejujuran pelanggan.

Demikian kebanyakan pelanggan yang boleh dikesan dalam sehari. Namun tidak dinafikan ada yang berniat jahat untuk tidak mahu membayarnya. Mereka ini bukan sahaja tidak sensitif dengan makanan haram tetapi sudah biasa dengan amalan itu lantaran tiada iman di dada.

Walau bagaimanapun dalam soal memilih makanan halal, sebahagian kita tidak sensitif dalam memilih kedai makan. Ramai yang secara lebih kurang memilih gerai termasuk gerai yang terdedah di tepi jalan. Ada juga yang mahu ke medan selera yang kelihatan paling ramai pelanggan kerana beranggapan gerai itu lebih sedap atau harganya agak murah.

Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang suka memilih restoran yang ekskulusif pernampilannya dan bertanda halal. Golongan ini tidak memilih siapa tuan punya restoran itu asalkan bertanda halal. Malah kadang-kadang lebih memilih restoran yang kelihatan cantik dan bersih walaupun pemiliknya bukan orang Islam.

Sememangnya makanan halal di negara kita ditentukan dengan teliti dengan syarat yang ketat. Halalnya bukan saja di sudut bahannya tetapi juga prosesnya. Kerajaan memberi amanah kepada syarikat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun supaya peranannya dilihat adil, kelulusan halal turut diberikan kepada pengusaha bukan Islam selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

HDC tidak boleh membuka peluang kepada orang Islam sahaja, apatah lagi kalau orang Islam sendiri tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. HDC juga tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal jika mereka mampu menyediakan keperluan dan memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Walau bagaimanapun sebagai umat Islam, kita perlu merenung dua persoalan berikut; mengapa pengusaha orang Islam tidak berusaha mendapatkan sijil halal; mengapa pula orang Islam sanggup ke restoran bukan Islam sedangkan restoran orang Islam masih ada meja dan kerusi yang kosong? Kita tidak bercakap soal Melayu tetapi Islam.

Suka dijelaskan di sini, pengusaha Islam yang kebanyakannya orang Melayu hari ini gagal memenuhi syarat kehalalan walapun mereka orang Islam. Dapurnya tidak bersih, peralatan tidak jaga kebersihannya, bahannya kurang bermutu selain kewangan yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Mengapa semua itu tidak boleh disediakan?

Orang Islam kebanyakannya mudah perasan bahawa dengan mereka beragama Islam, segala makanan yang disediakan mereka sudah pasti halal. Atas dasar itu mereka tiada tekanan untuk mengambil sijil halal. Pada mereka ada sijil atau tidak sama sahaja, orang tetap akan datang.

Sebenarnya orang Islam di negara ini masih belum sedar dari tidur yang panjang. Mereka masih dibuai mimpi yang indah. Padahal kehidupan mereka tidak mengikut peraturan Islam. Budaya kebersihan, budaya sosial yang sihat, budaya mentaati perintah Allah dan menghormati jiran tidak lagi diamalkan dengan sempurna.

Jika budaya ini tidak ada, bagaimana mereka boleh mendapat sijil halal. Kalau sekadar berlakon seketika untuk mendapatkan sijil, tetapi selepas itu semua peraturan dilanggar, masakan mereka boleh diberi kepercaan untuk mendapat sijil halal. Inilah cabaran yang perlu disedari oleh pengusaha Islam, mereka perlu sedar dan bertindak segera.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita boleh pergi ke restoran bukan Islam atas dasar halal. Namun pada sudut lain, mereka juga harus sedar bahawa dengan melanggan di restoran tersebut kita telah membantu menyuburkan ekonomi mereka. Mengapa kita tidak berkunjung sahaja ke restoran umat Islam yang masih kelihatan kerusinya kosong? Tidak ada tanda halal?

Walaupun tidak ada sijil halal, tidak semestinya tidak halal. Kita boleh menilai sendiri kehalalan restoran tersebut. Lihatlah dapurnya, peralatannya, pekerjanya, dan bahannya. Kalau semuanya bersih dan meyakinkan, mintalah makanan berdasarkan halal pada pandangan anda sendiri.

Bagaimanapun jika restoran tersebut tidak bersih dan peralatannya tidak meyakinkan, beredarlah dahulu sekali gus sebagai isyarat tentang protesnya. Kita boleh menegurnya secara baik selain tidak melanggan dengannya. Inilah cara yang sewajarnya dilakukan untuk menyedarkan mereka daripada terus tidur.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP