~ ~~Assalammualikum wrt, Terima Kasih Kerana Sudi Mampir~~~ ~

Jumaat, 6 November 2009

KENYATAAN MEDIA DPPP TERHADAP TINDAKAN JAIS

KENYATAAN MEDIA

02 NOVEMBER 2009

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

PARTI ISLAM Se MALAYSIA (PAS)

PEMUDA PAS KESAL TINDAKAN JAIS

Dewan Pemuda PAS Pusat sangat kesal dengan tindakan JAIS yang menggunakan kuasa sewenang - wenangnya untuk menangkap penceramah agama dan alim ulama' semata - mata kerana mereka tidak memiliki tauliah sewaktu menyampaikan kuliah agama di negeri Selangor, sedang JAIS boleh menumpukan operasi membenteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor.

Tambah malang apabila mereka turut mensasarkan penceramah agama yang sememangnya memiliki ijazah dalam bidang agama, pula diiktiraf kesarjanaan mereka oleh universiti yang menganugerahkan sijil pengiktirafan ilmu seperti BA , MA dan Phd .

Terbaru Dr Mohd Asri menjadi mangsa tangkapan JAIS atas alasan beliau tidak memiliki tauliah . Dr. Mohd Asri adalah merupakan bekas Mufti dan kini beliau mengendalikan sebuah rancangan agama di Astro. Selain university, masyarakat juga mengiktiraf ilmu yang dimiliki oleh beliau . Tindakan JAIS merupaka satu lagi episod malang bagi perkembangan agama di negara ini .

Sebelum ini beliau selalu dikaitkan dengan wahabi biarpun beribu kali beliau menafikan bahawa beliau bukan penganut faham wahabi . Saya faham terkadang kenyataan dan pendekatan Dr. Mohd Asri sering mencetus kontraversi dalam negara kita . Tetapi saya lihat kontraversi itu masih dalam lingkaran perbahasan agama yang boleh ditangani secara ilmiah . Malah saya sendiri mempunyai banyak perbezaan pendekatan dengan beliau dalam isu - isu tertentu sebelum ini , namun itu tidak bermakna peranan beliau dalam memberi ilmu kepada masyarakat tidak disokong .

Jika terdapat ajaran salah atau sesat yang dibawa oleh Dr Mohd Asri , pihak JAIS wajar bertindak . Tetapi jika hanya kerana tidak memiliki tauliah atau sekadar tuduhan beliau menyebarkan fahaman wahabi sedang beliau bukanlah seorang wahabi bahkan pernah menafikannya berulang kali , maka saya kira JAIS telah bertindak keterlaluan dalam perkara ini .

Pihak JAIS boleh memanggil para penceramah agama ini untuk sessi temuduga bagi menganugerahkan tauliah jika itu merupakan satu prosuder yang mesti diambil , bukannya dengan menggunakan kuasa menghalang dan menangkap sedang penceramah - penceramah ini berbakti kepada agama dan masyarakat untuk membasmi kejahilan .

Penyampaian kuliah di masjid surau sering dikekang oleh penguatkuasa yang memantau tauliah bukannya kesahihan ilmu yang disampaikan. Sementara maksiat dan mungkar berleluasa di sekitar masjid dan surau tanpa pemantauan berkesan dari pihak berkuasa agama .

Kini Selangor berada dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat . Secara umumnya , keadaan di Selangor banyak berubah terutama kebebasan para penceramah agama untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah bagi membasmi kejahilan ummah berbanding di zaman pemerintahan UMNO dulu .

Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Selangor, rasanya inilah kes pertama tangkapan kerana isu tauliah yang mendapat liputan media .

Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa kesal atas tindakan JAIS dengan menganggap isu seperti ini boleh diselesaikan secara lebih hikmah tanpa perlu membuat sebarang tangkapan yang boleh mencetus polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap JAIS .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga bersedia untuk mengadakan dialog dengan pihak mufti negeri Selangor atau Pengarah JAIS bagi menangani isu seperti ini [ pentauliahan ] demi masa depan dakwah Islamiyyah di negeri Selangor . Insyaallah , DPPP akan membuat temujanji dengan Pengarah JAIS dalam masa terdekat untuk tujuan tersebut .

Haji Nasrudin Hassan At Tantawi

Ketua

Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP